Saturday 13 July 2013

Posted by Unknown On 10:13
Kisah cinta Urwah bercambah sejak kecil . Sejak dari dulu Urwah jatuh hati dengan 'Afra , anak gadis pakciknya . Begitu juga dengan 'Afra . Beliau amat menyenangi Urwah dan mahu hidup bersamanya . 

Urwah anak yatim piatu dan tinggal dengan pakciknya sejak kecil . Hubungannya dengan 'Afra bukan sekadar sepupu tetapi juga teman rapat . Sungguh pun hidup miskin , hubungan mereka sungguh erat .

Setelah lama memendam rasa , Urwah memberanikan diri bertemu pakciknya dan menyuarakan hasrat menikahi 'Afra . Pakciknya tersenyum . " Aku memang suka jika hubungan keluarga ini semakin teguh . Tetapi kau perlu menyediakan 80 ekor unta sebagai maharnya . 

Apabila kau telah bersedia , kembalilah dan sebagai wali , aku akan menerima lamaranmu itu ." Pakciknya menganggap 80 ekor unta itu sebagai jaminan Urwah akan memberi kesenangan hidup kepada 'Afra selepas menikahinya .


Urwah terdiam seketika . Aduhai , 80 ekor unta ? Bagaimana dapat beliau menyediakannya ? Urwah mula gusar dan kegusaran itu diluahkan dalam bait-bait syair yang beliau karang untuk 'Afra .

" Wahai Afra' ...
Ayahmu membebaniku dengan 80 ekor unta ,
Sedangkan aku hanya memiliki lapan ekor unta sahaja ,
Sungguh mustahil apa yang dibebankan itu ,
Sekalipun kedua tanganku menjelmakan gunung yang menjulang ."

Demi cintanya pada 'Afra , Urwah pun meninggalkan kampungnya dan merantau mencari harta sekali gus menyediakan mahar seperti yang dipinta oleh pakciknya itu .

Beberapa tahun berlalu , Urwah kembali bersama mahar yang dijanjikan . Dengan senang hati beliau menuju ke rumahnya bagi menuntut janji . Namun seperti ada sesuatu yang tidak kena pada hari itu . Rumah itu sunyi dan beliau tidak melihat 'Afra di mana-mana . Pakciknya menyambut Urwah dengan senyuman tetapi di wajahnya seakan-akan terpancar riak kebimbangan .

" Pakcik , aku pulang bersama-sama mahar yang dijanjikan . Kali ini , aku amat berharap kau sudi menerima lamaranku terhadap 'Afra . " Pakciknya kelihatan serba salah . Urwah berdebar-debar menantikan jawapan dari pakciknya itu .

" Urwah , sepanjang kau pergi , aku telah menikahkan 'Afra dengan seorang lelaki yang kaya . Aku tidak tahu bila engkau akan pulang dan apakah kau mampu memberikan kesenangan kepada 'Afra . Beliau kini tinggal di Syam bersama suaminya ."

Urwah merasa terpukul dan terkilan . Bertahun-tahun lama beliau membanting tulang mengumpulkan mahar yang diminta . Malah kini beliau mampu memberikan lebih dari itu . Tetapi harapannya hancur hanya kerana pakciknya tidak yakin dengan dirinya . Urwah tertunduk . Namun beliau tidak berputus asa . 

Beliau pun menuju ke Syam dengan harapan dapat bertemu dengan 'Afra . Walaupun 'Afra sudah menjadi isteri orang , beliau ingin sekurang-kurangnya dapat melepaskan rindu sebelum beliau meneruskan hidup tanpa Afra' .



Setelah agak lama mencari , akhirnya Urwah tiba di rumah 'Afra . Urwah disambut dengan ramah oleh suami 'Afra . Tetapi Urwah tidak bertemu 'Afra dan suaminya juga tidak memberitahu kedatangannya kepada Afra' . 

Sebagai lelaki , Urwah dapat merasakan kecemburuan di hati suami Afra' dan beliau memahaminya . 



Tetapi Urwah terlalu merindukan Afra' . Lalu beliau meninggalkan cincinnya dan meletakkannya di dalam sebuah bekas . Bekas itu kemudiannya diserahkan kepada pembantu 'Afra supaya diserahkan kepada Afra' .

' Afra menerima bekas itu dan melihat cincin Urwah di dalamnya . Hatinya begitu gembira namun beliau sedar kedudukannya sebagai isteri . Tetapi beliau juga amat merindui Urwah apatah lagi mereka dahulunya berkongsi kehidupan di zaman kanak-kanak . 

Urwah dan 'Afra akhirnya bertemu melepaskan rindu . Mereka rancak bercerita mengenai pengalaman masing-masing sepanjang berpisah . Sedikit pun mereka tidak menyentuh soal perasaan masing-masing . Namun hanya Allah Yang Maha Mengetahui isi hati mereka .

Jauh di sudut hati , Urwah masih belum dapat melupakan 'Afra . Sejak itu , beliau jatuh sakit dan akhirnya meninggal dunia . Sebaik sahaja mendapat khabar tentang pemergian Urwah , 'Afra segera meminta kebenaran suaminya bagi menziarahi pusara Urwah . Suaminya mengizinkan dan 'Afra pun berangkat .


'Afra melepaskan tangisannya di sisi pusara Urwah . Lama beliau berteleku dan menghadiahkan potongan - potongan doa kepada Urwah . Esaknya masih tidak berhenti sehingga beberapa orang yang turut berada di situ pun dapat mendengar suaranya .

Lama kelamaan , suara 'Afra semakin perlahan dan akhirnya hilang . Mereka melihat kepada 'Afra sudah terhantuk dan tertunduk di pusara Urwah . Mereka menghampirinya . Rupa-rupanya 'Afra telah meninggal dunia , bersama rindu dan cinta mereka yang terpendam . 

Wallahu'alam .

0 comments:

Post a Comment