Sunday 26 May 2013

Posted by Unknown On 09:11
Kembara si pemuda tampan dan zuhud dari Kota Kufah berlabuh di sebuah kampung yang kebanyakan penduduknya adalah kaum An-Nakha'. Terpaksa juga beliau singgah di situ bagi melepaskan lelah setelah berhari-hari melangkah .

Sepanjang persinggahannya itu , beliau berkenalan dengan ramai penduduk kampung . Suatu hari , pemuda itu bertemu dengan seorang gadis yang sangat cantik .


Tanpa sengaja , mata mereka bertemu lantas seakan-akan berbicara melahirkan hasrat untuk memanjangkan silaturahim . Kedua-duanya seolah-olah terpana seketika namun dengan segera mereka memalingkan muka ke tempat lain . Bimbang rasa debar yang mula singgah di dada masing-masing menjadi sasaran panahan godaan syaitan . 

Namun , jauh di sudut hati mereka , ada bicara yang tidak terungkap , ada bahasa yang tidak terucap . Malah salam yang mahu diucapkan pun , mati kaku di hujung lidah .


Sejak pertemuan pertama itu , mereka mula merasakan jalinan cinta meresap ke dalam jiwa . Rasa itu semakin lama semakin kuat mencengkam hati pemuda itu walaupun pertemuan yang cuma seketika itu terhijab oleh selendang yang menyembunyikan wajah gadis itu . Pemuda itu begitu berharap cintanya tidak bertepuk sebelah tangan . Si gadis juga begitu . Beliau juga mengharapkan cintanya akan bersambut . Malah sering beliau menitipkan doa keselamatan untuk pemuda itu sehingga tiba masanya mereka bertemu kembali .


Sungguhpun dirinya dikuasai oleh rasa cinta , pemuda itu tetap bimbang hatinya dirosakkan oleh perasaan yang keterlaluan sekiranya terus dipendamkan . Tambahan pula , beliau amat mengharapkan cinta pandang pertamanya itu tidak sia-sia . Beliau mahu mengabadikan cintanya di atas landas syariat dan kekal bersemi sehingga ke syurga . Beliau begitu yakin , gadis pilihan hatinya itulah yang telah ditakdirkan Allah untuknya .

Lalu beliau mengutuskan seseorang bagi merisik sekali gus meminang gadis itu . Utusannya itupun menyampaikan hajat si pemuda kepada orang tua gadis itu sebaik-baiknya . Tetapi Allah telah mengaturkan rencana yang lebih baik untuk si pemuda dan gadis itu . Pinangan itu terpaksa ditolak kerana gadis itu telah ditunangkan dengan sepupunya . 


Utusan itu begitu serba salah untuk menyampaikan jawapan orang tua si gadis kepada pemuda itu . Tetapi terpaksa juga disampaikan sambil menitipkan kalimah-kalimah semangat bagi membantu meredakan kekecewaan pemuda itu . Ya , pemuda itu begitu kecewa . Sudah tentulah beliau tidak boleh lagi meminang gadis itu kerana gadis itu sudah dipinang . Syariat menetapkan , mana-mana gadis yang telah dipinang , tidak boleh dipinang lagi sehinggalah pinangan pertama itu batal . 


Gadis itu juga kecewa dengan jawapan orang tuanya . Rasa kasihnya terhadap pemuda itu begitu kuat sehingga anugerah indah yang seharusnya menyenangkan hati itu terasa amat membebankan . Lalu beliau berusaha mengatur rancangan yang dianggapnya sebagai usaha untuk membawa cintanya ke alam nyata . Beliau pun mengirimkan sepucuk surat kepada pemuda itu melalui seorang utusan . 

Di dalam surat itu dia menulis : " Aku tahu engkau benar-benar mencintaiku . Aku pun turut menderita kerana cintaku terhadapmu . Sekiranya kau setuju , aku akan datang ke rumahmu atau aku akan membantumu datang ke rumahku ."



Pemuda itu begitu teruja membaca surat itu . Hampir saja beliau tergoda dengan cadangan gadis itu . Namun sebagai pemuda zuhud yang sepanjang hidupnya menghambakan diri kepada Allah , cintanya kepada Penciptanya lebih tinggi dari cintanya kepada gadis itu . Beliau lebih takutkan hukuman Allah dari hukuman orang tua gadis itu . Lalu beliau mengirimkan jawapannya melalui utusan itu ;





" Katakan kepada kekasihku , aku terpaksa menolak kedua-dua cadangannya . Aku lebih takutkan seksaan pada hari perhitungan kerana derhaka kepada Tuhanku . Aku juga sangat takutkan api neraka yang sangat panas dan tidak pernah padam . "

Utusan itu pun pulang dan menyampaikan jawapan pemuda itu kepada si gadis . Gadis itu terdiam seketika . Beliau berfikir , bukankah setiap pasangan kekasih sangat merindukan pertemuan di antara mereka malah setiap masa mengharapkan kehadiran pasangan masing-masing di sisi mereka ? Serta merta beliau merasa kagum dengan pendirian pemuda itu .

Beliau begitu kagum dengan keteguhan hati kekasihnya dalam mempertahankan iman dan syariat yang telah ditetapkan Allah . Rasa cintanya kepada pemuda itu semakin subur . Lalu beliau berazam untuk turut menjadi  seorang muslimah yang solehah dan selayaknya untuk kekasihnya itu . 

" Sesungguhnya , aku belum pernah bertemu dengan seorang yang begitu zuhud dan takutkan Allah seperti dia . Demi Allah , tidak ada seorang pun yang layak digelar mulia kecuali dia , sedangkan kebanyakan manusia berada dalam kemunafikan ," kata gadis itu kepada utusannya .


Gadis itu benar-benar mahu merubah dirinya menjadi seorang yang lebih baik . Beliau mula belajar mengabadikan diri kepada Allah dengan sebenar-benar pengabdian dan menyerahkan urusannya kepada Allah dengan sebenar-benar penyerahan .

Beliau begitu bersyukur ditemukan Allah dengan seorang pemuda yang mencintainya kerana Allah malah menunjukkan jalan mencintai Allah melalui cintanya . 


Sejak itu , beliau sentiasa berusaha mengalihkan cinta dunianya kepada cinta akhirat . Beliau begitu tekun beribadah kepada Allah . Semakin dalam cintanya kepada pemuda itu , semakin dalam pula cintanya kepada Allah . Begitulah sebaliknya , semakin dalam cintanya kepada Allah , semakin dalam juga cintanya kepada pemuda itu . 

Dalam masa yang sama , beliau tetap merindukan pertemuan dengan kekasihnya itu . Bagi memujuk hatinya , beliau sentiasa bermunajat kepada Allah pada setiap sepertiga malam , mengadukan kerinduan dan keresahan hatinya terhadap pemuda itu kepada Allah , sekali gus tidak putus-putus mensyukuri nikmat cinta yang dianugerahkan Allah sehingga beliau kini turut tenggelam dalam cintanya kepada Penciptanya itu .



Begitulah keadaan si gadis . Setiap masa beliau merindukan pertemuan dengan si pemuda zuhud , cinta pertamanya itu . Setiap masa jugalah beliau merindukan waktu-waktu bersendirian dengan Allah bagi mengadukan segala kerinduannya itu . Cinta pandang pertama yang begitu dalam sehingga cintanya itu mengenalkannya kepada cinta Maha Pencinta . Itulah pertama kali mereka bertemu , namun rasa cinta yang tidak sempat bertaut menjadi nyata itu tumbuh mewangi sehingga ke syurga . 


Keadaan si gadis sama dengan lelaki zuhud itu . Sejak pertemuannya dengan si gadis , beliau semakin merapatkan dirinya dengan Allah dan sering tenggelam dalam ibadah kepada Khaliqnya itu . Seperti juga si gadis pujaannya itu , beliau turut mengadukan segala keresahan dan kerinduannya kepada Allah sekali gus mensyukuri nikmat cinta yang dianugerahkan Allah itu . Ujian cinta yang diturunkan Allah ke atas dirinya dan gadis pujaannya itu diterimanya dengan hati yang redha dan dijadikannya sebagai pengikat cintanya kepada Allah .



Akhirnya Allah menjemput gadis pujaannya itu . Gadis itu meninggal dunia dalam keadaan dirinya yang tenggelam dalam dua rindu , rindukan kekasih dunianya dan rindukan kekasih yang menciptakan dirinya . Walaupun gadis itu telah meninggal dunia , si pemuda masih dapat merasakan cintanya yang suci itu . Sungguhpun jasad si gadis telah terkubur , namun cinta pemuda itu kepada si gadis sentiasa subur . 


Beliau sering mendoakan kesejahteraan si gadis dalam doa-doanya yang panjang . Malah beliau tidak pernah meninggalkan makam si gadis sepi tidak berziarah .

Suatu malam , ketika pemuda zuhud itu sedang beribadah seperti biasa , beliau merasa amat mengantuk . Kedua-dua matanya sering saja terpejam ketika beliau sedang berzikir . Lalu pemuda itu melepaskan kantuknya . Selepas salam terakhirnya menutup solatnya , beliau terus tertidur . 

Dalam tidurnya itu , si pemuda itu bermimpi bertemu si gadis pujaan hatinya dalam keadaan yang sangat menyenangkan . Inilah kali kedua mereka bertemu dan pertemuan kali kedua ini lebih lama dari pertemuan pertama dahulu .

Beliau bertanya kepada kekasihnya , " Bagaimanakah keadaanmu , wahai kekasih ? Apakah yang telah engkau perolehi setelah berpisah denganku ?"

Si gadis menjawab dengan untaian syair ;

Kekasihku ...
Cinta paling indah adalah mencintaimu 
Sebuah cinta yang membawa ku kepada kesejahteraan
Cinta yang indah hingga angin syurga pun merasa malu
Burung syurga menjauh dan malaikat pula menutup pintu 

Mendengar jawapan itu , pemuda itu bertanya lagi , " Di mana kedudukanmu sekarang wahai kekasih ?"

Sekali lagi si gadis bersyair ;

Aku berada dalam kenikmatan 
Dalam kehidupan yang tiada akhirnya
Dalam syurga abadi
Yang dijaga oleh para malaikat yang tidak mungkin binasa
Para malaikat itu akan menunggu kedatanganmu 
Wahai kekasih ...

Si pemuda itu berkata lagi , " Setelah mengingatiku , aku sendiri pun tidak dapat melupakanmu ."

" Demi Allah . Aku tidak akan melupakanmu . Sungguh , aku telah memohon untukmu kepada Allah dengan kesungguhan hatiku , hingga Allah berkenan memberikan pertolongan kepadaku ." jawab gadis itu .

" Bilakah aku akan dapat melihatmu kembali ?" Tanya pemuda itu lagi .

" Tak lama lagi kau akan menyusulku ," jawab kekasihnya . 

Benarlah . Tidak lama selepas mimpinya itu , pemuda itupun meninggal dunia . Dengan izin Allah , mereka pun bertemu kembali di syurga dan bersatu di alam abadi itu .


TAMAT.

0 comments:

Post a Comment