Thursday 23 May 2013

Posted by Unknown On 20:15
Ali Bin Abi Talib sangat menyayangi Fatimah binti Muhammad . Dari kecil lagi rasa sayang itu sudah ada . Ali mengagumi ketabahan Fatimah yang setia di sisi ayahnya walaupun seluruh musyrikin Mekah menentang dan menghina .

Fatimah gadis lembut , gadis santun bersemangat waja tetapi tegas dan jiwanya kuat . Beliau gadis impian ramai pemuda . Wajahnya yang bersih dan mulus memikat menambahkan rasa sayang dalam hati Ali .

Ya , hatinya begitu kecewa mendengar Abu Bakar As-Siddiq melamar Fatimah . Wajahnya tertunduk hampa dan semakin tunduk apabila membandingkan dirinya dengan Abu Bakar .

Abu Bakar adalah sahabat Rasulullah yang paling dekat dan paling dipercayai . Beliau sanggup menahan bisa ular yang cuba mematuk baginda semata-mata tidak mahu Rasulullah yang sedang tidur di atas ribanya terjaga . Tidak pernah sekalipun beliau menafikan kata-kata Rasulullah . Malah beliau berjaya menyentuh hati banyak bangsawan dan orang-orang penting Mekah terhadap Islam melalui dakwahnya .

Sedangkan dirinya ? Ali tertunduk lagi . Beliau pasrah walaupun benar-benar menyayangi Fatimah . Apakah rasa sayang itu cinta ? Ya , itulah cinta . Dan kerana cintanya , beliau rela melihat kebahagiaan Fatimah di sisi Abu Bakar .

Beberapa hari kemudian , beliau kehairanan . Khabar terbaharu yang diterimanya , lamaran Abu Bakar ditolak Rasulullah . Mengapa ? Bukankah Abu Bakar calon paling layak untuk Fatimah ? Walaupun begitu , hatinya kelegaan . Mungkinkah beliau masih mempunyai peluang terhadap Fatimah ?

Kelegaannya tidak lama . Saingan yang lebih hebat menghulur lamaran kepada Fatimah . Kali ini pula dari Umar bin Al-Khattab . Ya , Umar bin Al-Khattab , lelaki pemisah kebenaran dan kebatilan (kepalsuan) juga berniat menjadi menantu Rasulullah .



Ya Allah , apakah ini akhir takdirnya ? Bagaimana beliau dapat menafikan kehebatan Umar ? Malaikat sendiri tunduk hormat kepadanya malah syaitan pun lari jika berhadapan dengannya . Keislamannya membuatkan Islam semakin teguh dan para musyrikin Mekah tidak lagi berani sewenang - wenangnya mengangkat muka menghina agama Allah itu .


Untuk kali kedua , Ali tertunduk lagi . Benarlah cinta itu adalah pengorbanan . Dan sekali lagi , dia sanggup berkorban melepaskan Fatimah ke tangan Umar jika itu dapat menjamin kebahagiaan Fatimah .

Tetapi , beliau kehairanan sekali lagi . Rasulullah masih menolak pinangan Umar itu . Umar ? Mengapa Rasulullah menolak Umar ? Lelaki bagaimana lagi yang Rasulullah mahukan sebagai suami puteri kesayangannya itu ? Bukan Abu Bakar , bukan Umar . Lalu , siapa ?

Kali ini , Ali mencuba nasib . Mana tahu Rasulullah akan menerimanya . Bukankah beliau antara yang paling rapat dengan baginda ? Teman-temannya membantu menaikkan semangatnya . Tetapi beliau hanya pemuda miskin yang langsung tidak mempunyai harta . Adakah Rasulullah akan memandang ketulusan hatinya untuk Fatimah melebihi kemiskinannya ?



Walau apapun , Ali harus mencuba . Lalu beliau memberanikan diri menemui Rasulullah . Dengan hormat dan penuh hati-hati beliau menyampaikan niatnya untuk menikahi Fatimah . Terbayang di fikirannya , harta yang dimilikinya hanya satu set baju besi manakala di rumahnya hanya ada tepung sebagai makanannya .


Ali berdebar-debar menanti jawapan Rasulullah . Jika baginda menerima , sungguh beliau adalah lelaki paling beruntung di muka bumi Tuhan ini .


" Ahlan wa sahlan , wahai Ali ," kata Rasulullah sambil tersenyum . Ali terpinga-pinga . Apakah maksudnya ? Adakah lamarannya ditolak atau diterima ?

" Engkau diterima , wahai Ali . Engkau diterima !" Begitu gembira teman-temannya mendengar jawapan Rasulullah yang dikhabarkan oleh Ali itu .



Ali tidak percaya . Lamarannya diterima ? Subhanallah .. Allahuakbar .. sesungguhnya Allah Maha Pemberi Nikmat dan Engkau memberikannya kepada sesiapa yang Engkau kehendaki .


Pernikahan mereka berlangsung dalam majlis yang cukup sederhana . Namun itu sudah cukup bagi memulakan kisah cinta mereka yang penuh bunga-bunga iman dan taqwa . Hati Ali dan Fatimah akhirnya bersatu di bawah naungan redha Allah dan Rasul-Nya . Ali bahagia dalam cintanya . Bahkan tambah bahagia apabila Fatimah mengakui , beliau sendiri sangat mengagumi Ali dan sudah jatuh cinta pada pemuda itu sejak dulu .


Sudah jelas , cinta itu perlu diusahakan . Bukan sekadar berdiam diri dan merelakan kehilangannya . Tetapi cinta itu memerlukan pengorbanan . Dan hanya mereka yang berani seperti Ali sahaja yang layak memiliki cinta gadis seperti Fatimah .

TAMAT .

0 comments:

Post a Comment