Saturday 27 April 2013

Posted by Unknown On 17:41
Puteri Raja Dengan Lelaki Miskin 
( Cerita Orang - Orang Soleh )

Disebutkan dalam catatan cerita lama bahawa ada seorang perempuan ahli ibadah yang wara' dan solehah di kalangan Bani Israil . Dia seorang puteri raja , wajahnya cantik dan akhlaknya sangat baik , sehingga ramai yang ingin meminangnya untuk dijadikan isteri . Padanya memang terkumpul sifat-sifat wanita idaman , yakni cantik , berharta , berketurunan terpandang dan beragama . 

Pada suatu hari , seorang lelaki yang juga anak raja datang meminangnya untuk dijadikan isteri . Namun , perempuan itu tidak tertarik pada pinangan lelaki keluarga istana , dia tidak mahu bersuamikan lelaki yang datang meminangnya . Sebaliknya dia ingin mencari sendiri pasangan hidup yang sesuai dengan keinginan hatinya . 


Dipanggilnya salah seorang khadam yang berkhidmat kepadanya dan diluahkannya keinginan hatinya . " Belehkah engkau menolongku ?" " Sudah tentu Tengku ." jawab di khadam . " Saya minta tolong kepadamu agar mencarikan seorang lelaki yang wara' zuhud , ahli ibadah dan fakir . " kata puteri raja itu . " Untuk apa Tengku ?" tanya khadam . " Untuk dijadikan suamiku ," jawabnya . " Bagaimana keadaan lelaki yang Tengku idamkan ?" " Engkau pandai - pandai sendirilah ."


Maka berangkatlah si khadam itu menjalankan perintah tuannya . Dia mencari lelaki ke sana ke mari . Apabila berjumpa dengan lelaki yang dimaksud , dirisiknya lelaki itu dengan cermat . Setelah beberapa lama pembantu itu mencari dan merisik , berjumpalah dia dengan lelaki yang sesuai dengan kehendak tuannya . Lalu lelaki itu dibawanya berjumpa dengan tuan puteri .

" Tengku , aku sudah membawa pulang seorang lelaki . Tengku tengok sendirilah !" Tuan puteri memerhatikan lelaki itu dan tampaklah padanya sifat-sifat kezuhudan soleh dan wara' . " Wahai lelaki , sudikah engkau kahwin denganku ?" kata tuan puteri .

Pada mulanya si lelaki agak terkejut dan merasa ganjil , kerana tidak pada biasanya ada seorang perempuan mencari dan meminang lelaki untuk dijadikan suami . Apa lagi puteri yang di hadapannya adalah seorang puteri raja . Maka diapun memberitahu bahawa dirinya hanyalah seorang biasa yang tidak punyai apa-apa , tidak layak beristerikan seorang puteri raja . Namun , semua alasan yang diberikan tidak dapat diterima oleh puteri yang ingin bersuamikan orang soleh itu . Dia mengatakan bahawa di sisi Tuhan tidak ada perbezaan pangkat , darjat dan harta , yang ada hanyalah takwanya kepada-Nya . Lelaki itupun diam .

" Jika engkau suka menerima pinanganku , aku akan bawa engkau kepada orang yang berhak menikahkan aku dengan engkau ," kata si puteri lagi .

Setelah berfikir-fikir sekejap , lelaki itu berkata" Kalau sudah begitu kemahuan Tuan Puteri , aku setuju . Mungkin memang sudah kehendak Allah ." Si puteri sangat gembira lalu dibawanya lelaki itu kepada walinya untuk bernikah . Maka berlangsunglah pernikahan antara dua darjat yang berbeza , puteri raja yang ahli ibadah dengan seorang lelaki miskin tetapi ahli ibadah juga .

" Bang , bawalah aku kepada keluargamu ," kata tuan puteri itu setelah berkahwin . Dia ingin hidup menyendiri , membina rumah tangga yang penuh takwa dengan suaminya itu . " Wahai adinda ! Demi Allah aku tidak punya apa-apa selain pakaian yang kupakai di badanku ini . Ini sajalah yang kubuat selimut di malam hari , dan pakaian ini pula yang kupakai di siang hari . "

" Aku kan sudah redha menjadi isterimu , bererti aku redha pula walau bagaimana keadaanmu ," kata si tuan puteri .

Si suami memenuhi permintaan isterinya , maka dibawanya kepada keluarganya . Di sana keduanya membina sebuah rumah tangga yang penuh iman dan takwa . Dia tidak membawa apa-apa dari istana , hanya mengharapkan pertolongan dari Allah semata . Pada siang hari si suami soleh itu bekerja sekuat tenaga sementara isterinya ada di rumah berpuasa dan beribadah sepanjang masa , di samping menguruskan rumah . Apabila hari telah hampir malam , si suami datang dengan membawa sedikit rezeki untuk buka isterinya . Apabila malam tiba , kedua-duanya beribadah dan bermunajah kepada Allah .


" Sekarang benar-benar aku telah merasakan manisnya beribadah kepada Allah ," kata si isteri .

Pada suatu hari , si suami telah mendapatkan apa-apa rezeki untuk dibawa pulang walaupun dia telah berusaha sedaya upaya . Sedangkan matahari sudah mulai condong ke barat , sebentar lagi malam tiba dan isterinya perlu berbuka puasa . Dia merasa sedikit risau memikirkan hal itu . Dalam keadaan berfikir-fikir keluarlah perkataan dari mulutnya , " Isteriku ada di rumah sedang berpuasa . Dia menunggu sesuatu makanan dariku untuk berbuka puasanya ."

Lalu dia bangun dari tempat duduknya dan berwuduk kemudian solat dengan khusyuk . Selepas solat , dia berdoa kepada Allah dengan hati tawaduk , khusyuk dan penuh harap . " Wahai Tuhanku ! Sesungguhnya Engkau mengetahui bahawa aku tidak minta kepada-Mu untuk kepentingan duniaku . Hanyalah aku berbuat demikian demi kepentingan seorang isteri yang solehah . Wahai Allah , berilah aku rezeki dari sisi-Mu , sesungguhnya Engkau lah sebaik-baik Pemberi rezeki ."

Belum habis dia mengucapkan doanya , tiba-tiba terpancar sinar terang dari langit yang ia sendiri sangat kagum akan sinar itu , dan tiba-tiba di hadapannya telah tergolek seketul permata . Permata yang jatuh dari langit itu sangat indah dan tidak ternilai harganya . Lelaki itu yakin bahawa itu adalah rezeki dari Allah berkat permohonannya yang tulus ikhlas demi kepentingan isterinya yang solehah . Lalu dipungutnya permata indah itu dan dibawa balik ke rumahnya dan diserahkannya kepada isterinya .


Isterinya segera menyambut barang yang dibawa oleh suaminya dengan gembira . Namun dia bukanlah isteri yang tamakkan harta tanpa bertanya dari mana asal usul benda yang sangat indah dan berharga itu .Sekalipun dia puteri raja yang terdedah kepada berbagai perhiasan , namun dia tidak pernah melihat barang secantik itu .

" Dari mana abang dapat benda sebagus ini ?" Aku belum pernah melihat benda selama ini selama hidupku ." Si suami menceritakan dari mana asal usul dia memperolehi benda sebagus itu . Diberitahukannya bahawa dia mencari rezeki untuk makanan pada hari itu sejak pagi sehingga petang . Namun , walau sudah berusaha sedaya upaya , rezeki tidak datang juga .

" Setelah puas berusaha aku berkata ," Isteriku ada di rumah menunggu sesuap makanan untuk berbuka puasanya . Dia adalah puteri raja , aku tidak tergamak datang kepadanya tanpa membawa sesuatu rezeki ." Lalu aku berdoa kepada Allah S.W.T. dan tiba-tiba Dia memberikan rezeki kepadaku dari langit dengan mutiara ini ." kata si suami menerangkan .

Isterinya sangat terharu mendengar keterangan suaminya berkenaan dengan asal usul batu permata itu . Kemudian dengan lemah lembut dia berkata kepada suaminya , " Sila abang pergi semula ke tempat abang berdoa tadi dan bawa permata ini . Abang berdoalah kepada Allah : ' Ya Allah Ya Tuhanku ! Jika batu permata ini memang kau berikan kepadaku buat rezeki di dunia ini , berkatilah dia bagi kami . Akan tetapi , jika dia termasuk sebahagian khazanah yang kau simpan untuk kami di akhirat kelak , ambillah semula ."

Si suami mengikut petunjuk isterinya yang arif itu . Dia pun pergi membawa batu permata itu ke tempat dia berdoa kepada Allah dan mendapatkan permata itu . Dengan khusyuk dia berdoa dengan doa yang diajarkan oleh isterinya . Ternyata , batu permata yang diletakkan di hadapannya itu naik semula ke langit dan hilang dari pandangan mata dengan ajaib . Dia segera pulang menjumpai isterinya dan diceritakannya apa yang telah terjadi . Isterinya sangat gembira kerana benda itu benar-benar merupakan peruntukannya di akhirat kelak .

Lalu dia memuji Allah , " Alhamdulillahilladzi arana ma dakhara lana fil akhirah ( Segala puji bagi Allah yang telah memperlihatkan kepada kami persediaan yang dipertuntukkan kepada kami di akhirat kelak ) ."

Selepas peristiwa itu , kedua-dua suami isteri itu sudah memicingkan matanya terhadap dunia . Mereka tidak mengharapkan apa-apa lagi dari dunia yang sementara ini , kerana rindunya hanya tertumpu kepada peruntukannya di akhirat . Hidupnya dihabiskannya dengan beribadah dan berkhidmat untuk Allah . " Sekarang aku sudah tidak akan menoleh lagi terhadap apa-apa yang ada di dunia yang fana ini . Aku bersyukur kepada Allah ," kata si isteri kepada suaminya . Radiallhu'anhuma . 

0 comments:

Post a Comment