Sunday 26 May 2013

Posted by Unknown On 01:47
Abu Utsman An-Naisaburi terdiam. Beliau tergamam sebenarnya dengan keberanian wanita itu melamarnya secara terus terang . " Aku benar-benar mencintaimu , Abu Utsman ," tutur wanita itu malu-malu , meluahkan perasaannya . " Aku memohon , atas nama Allah , nikahilah aku . Aku mengharapkan kesudianmu ." 

Oh ! Dari manakah datangnya keberanian wanita itu ? Setelah meminangnya , wanita itu terus meninggalkan Abu Utsman tanpa menunggu jawapannya . 

Abu Utsman tidak pernah mengenalinya apa lagi melihat wajah yang dilindungi hijab itu . Siapa beliau ? Apa yang difikirkannya sehingga begitu sanggup datang menemui Abu Utsman dan mencurahkan rasa cinta ? Bahkan meminta Abu Utsman menikahinya ?



Abu Utsman terpaku . Lidahnya kelu . Beliau tidak mahu mengecilkan hati wanita itu . Tetapi beliau masih belum bersedia berhadapan dengan persoalan sebesar itu . Bernikah dengan seseorang yang tidak dikenali adalah satu keputusan yang harus diteliti sedalam-dalamnya . Abu Utsman teringat permintaan ahli keluarganya supaya mendirikan rumah tangga dengan mana-mana wanita solehah di daerah itu .

Tetapi beliau sering memberikan pelbagai alasan . Oleh kerana itulah , sehingga kini , dirinya masih membujang .

Abu Utsman yakin , di sebalik keberaniannya , wanita itu termasuk dalam golongan wanita solehah . Ya , setiap wanita berhak menentukan jodohnya sendiri . Dan wanita yang solehah tidak akan sewenang - wenangnya menemui dan meminang seorang lelaki jika lelaki itu dilihat tidak mampu membimbing kehidupannya di dunia sekali gus menuntunnya ke akhirat .

Abu Utsman membulatkan hati . Beliau akan menikahi wanita itu . Lalu beliau mula mencari rumah wanita itu . Setelah puas bertanya ke sana ke mari , akhirnya beliau tiba di sebuah rumah yang usang dan kecil . Abu Utsman dapat melihat dengan jelas raut-raut kemiskinan di wajah orang tua wanita itu . Serta merta beliau merasa kasihan .

" Assalammu'alaikum pak cik . Maafkan kedatanganku . Sejujurnya , aku mahu meminang anak gadismu untuk diriku ."

Kedua orang tua wanita itu serta merta menadah tangan ke langit dan melafazkan syukur . Kuasa Allah , mereka hidup dalam kemiskinan tetapi anak gadis mereka dipinang oleh lelaki berilmu , bijak , tampan dan terhormat . Tiada lagi yang diharapkan selain kebahagiaan anak gadis mereka .

Abu Utsman dan wanita itu akhirnya diijabkabulkan dan berkongsi hidup sebagai suami isteri selama 15 tahun . Dalam tempoh itu , isterinya benar-benar mencurahkan cinta dan kesetiaannya sebagai isteri . Isterinya sentiasa berusaha memenuhi apa saja permintaan Abu Utsman . Bukan hanya kerana cinta , tetapi wanita itu merasa sangat bersyukur dan bertuah kerana Abu Utsman sudi menikahinya .

Bagi Abu Utsman , ketulusan cinta isterinya itu telah menambat hatinya tetapi tidak sampai menambat cintanya . Ada ketikanya , beliau merasa tertipu dan marah . Tetapi beliau sentiasa berusaha menjaga perasaan isterinya kerana terharu dengan kesungguhan cinta isterinya itu .

MENGAPA ABU UTSMAN MERASA BEGITU ?

Ini kerana isterinya tidak secantik yang diharapkan . Rupa-rupanya , sebaik sahaja isterinya membuka hijabnya pada malam pertama pernikahan mereka , Abu Utsman terkejut . Matanya juling dan wajahnya buruk . 

Sebagai manusia biasa , ada sekelumit rasa kecewa melintasi hati Abu Utsman . Tetapi Abu Utsman adalah manusia terpelajar dan berilmu . Beliau bijak menyembunyikan perasaannya sehingga isterinya itu merasa diterima seadanya .

Ada beberapa kali isterinya meminta Abu Utsman tidak meninggalkannya di rumah kerana cemburu dan bimbang Abu Utsman terpikat dengan wanita lain . Abu Utsman menghormati permintaan itu . Walaupun tiada cinta di hatinya , tetapi kejujuran cinta isterinya itu membuatkan Abu Utsman mengasihi dirinya . Segala rasa benci dan marah yang sesekali menguji jiwa dibuang jauh .


Selepas 15 tahun berkahwin , isterinya meninggal dunia . Pernah Abu Utsman ditanya mengenai amalan yang diharapkan dapat melindunginya dari seksa Allah .



Abu Utsman menjawab soalan itu dengan jujur . " Isteriku mencintaiku sedangkan aku tidak mencintainya . Tetapi aku tidak pernah menunjukkan perasaanku itu terhadapnya sebaliknya aku menghormati perasaannya ."




" Walaupun aku merasa tertipu dan kecewa dengan kekurangannya , aku tetap bersabar dan tidak pernah sekali mengatakan sesuatu yang boleh menyinggung hatinya . Aku harap , sekiranya ada pahala dalam setiap kesabaranku selama 15 tahun itu , ia akan dapat menambah timbangan amalku di akhirat nanti ."


TAMAT.

0 comments:

Post a Comment