Monday 16 September 2013

Posted by Unknown On 01:05
 

    Menguasai Aras Pemikiran Tertinggi + Kemahiran Asertif    


Rata - rata umat dalam kalangan masyarakat Malaysia hari ini masih berada di takuk lama , pemikiran minda kelas ke-3 yang dipercayai menjadi punca dominan menjerumus kepada ketidakstabilan politik , ekonomi , sosial dan sebagainya yang berlaku sejak belakangan ini .

Dalam hal ini , kita perlu ambil serius .  Kemahiran meletakkan aras pemikiran kita berada yang paling atas setidak-tidaknya mampu mengawal segala tindak-tanduk kita , sedar akan implikasi setiap tindak-tanduk tersebut dan lebih matang berfikiran rasional sebagai seorang Islam .



Cukuplah negara dicemarkan dengan berita-berita kurang enak di dada-dada akhbar media arus perdana negara mengenai keruntuhan akhlak golongan muda masa kini yang rata-rata terdiri daripada orang Melayu sendiri yang beragama Islam . Anda yang membaca ini , sebagai golongan pemimpin yang celik dan bijak pandai harus sama-sama membasmi dan membawa mereka keluar dari kancah tersebut .

Berapa ramai dalam kalangan kita hari ini
yang masih betul-betul menghormati mereka
yang lebih tua ?

Dengan cara yang bagaimana ?

Kuasai aras pemikiran tertinggi . Bantu diri sendiri juga insan lain ke arah kesihatan rohani & jiwa itu sendiri .

Cukuplah juga dengan segala tohmahan , cemuhan yang dilemparkan orang kafir terhadap Islam hari ini yang beranggapan penganut agama Islam menjadi 'produk gagal' dengan keruntuhan akhlak yang kian menular umpama virus epidemik .

Setidak-tidaknya , kita sama-sama ubah dan bantu saudara-saudara Islam kita sendiri .


Kejadian manusia yang mudah kita
fahami hari ini dengan kajian sains .
TAHAP 1 : PEMAHAMAN

Aras pemikiran yang paling bawah ( Pemahaman ) rata-rata sudah dikuasai majoriti dalam kalangan kita . Ia berkait rapat dengan keupayaan semulajadi akal seseorang manusia memahami fenomena mahupun apa yang diperhati di sekelilingnya .

TAHAP 2 : PENGETAHUAN


Aras pemikiran kedua ini lebih tinggi sedikit 'level-nya' berbanding di tahap pertama tadi . Aras pengetahuan ini lebih menjerumus kepada nadi seseorang itu mampu keluar dari zaman kejahilannya . Sesungguhnya menuntut ilmu itu hukumnya wajib menurut syariat Islam , Quran dan sabda Muhammad S.A.W.

Dengan adanya ilmu , kita mencintai Allah S.W.T. , Rasulullah dan berkasih sesama makhluk-Nya . Yang pasti ia mampu menjamin kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat kelak jika di-manfaatkan dengan sebaiknya . In shaa Allah .

TAHAP 3 : APLIKASI


Tahap ini lebih rumit , memerlukan seseorang untuk memahami teori sesuatu perkara terlebih dahulu selepas berjaya meraih pemahaman dan pengetahuan di peringkat sebelumnya . Aplikasi ini lebih memberi penekanan kepada sesuatu pengetahuan yang praktikal melalui amali . Percayalah , ianya tidak sukar dan akan menjadi mudah dengan bantuan Allah S.W.T. 

Jangan mudah berputus asa . Seperti kartun di sebelah ini ~ ^_^


TAHAP 4 : ANALISIS

Kisahkah anak muda pada hari ini tentang kebersihan ?
Berapa ramai dalam kalangan kita hari ini yang mencintai
keindahan bandar dan alam sekitar ?

Aras pemikiran ini bersifat lebih unik , namun mampu dimiliki setiap individu yang berusaha memantapkan teras atau 'core' dalam fikiran mereka . 


Keupayaan ini berkait rapat dengan pertimbangan seseorang mengkaji dengan lebih mendalam fenomena , situasi , keadaan atau apa sahaja yang berlaku di sekelilingnya berdasarkan setiap sumber maklumat yang ada .


Walhal , kesedaran mereka amat tinggi untuk menyalurkan maklumat yang benar kepada orang ramai . Tidak kiralah penganalisis sosial , sivik , ekonomi , pertahanan , budaya dan sebagainya . Mereka kadangkala lahir sebagai pejuang nasionalisme . 


Kaitkan keindahan alam semulajadi
dengan kebesaran Allah S.W.T. 

TAHAP 5 : SINTESIS


Aras pemikiran sintesis lebih tertumpu kepada kemahiran seseorang berfikiran kreatif , keupayaan mengintegrasikan idea dan pemikiran dari skop dan sudut pengetahuan yang berbeza . 

Misalnya , sistesis yang melibatkan penyelesaian matematik atau kebudayaan yang melibatkan prosedur dan langkah yang rumit sehingga dapatan yang hebat diperoleh .



TAHAP 6 : PENILAIAN

'Penilaian' merupakan aras pemikiran tertinggi . Seseorang yang mampu menilai sesebuah keadaan dalam keadaan sedar sepenuhnya dengan bernas dan rasional dikatakan menguasai aras pemikiran paling atas .


  
Mereka yang memiliki aras pemikiran kelas pertama prihatin dan mempunyai 
tahap ' awareness ' yang tinggi terhadap nasib saudara - saudara mereka di
luar sana selain isu-isu bersifat global  .

Manakah pemimpin yang wajar memimpin Mesir ?
Sekeping gambar ini sahaja sudah mampu berbicara

dan membuat kita berfikir , Dr. Morsi atau Hosni 
Mubarak ? 

Seseorang yang menguasai aras pemikiran tertinggi lebih bijak menilai
sesuatu keadaan . Kedamaian VS kekacauan , Peperangan VS rundingan
dan sebagainya .


Kemahiran Asertif Jamin Hak Sesama Insan

Asertif dalam erti kata sebenar-benarnya adalah pendirian tegas seseorang individu terhadap sesuatu perkara . Individu yang betul-betul menguasai kemahiran ini mempunyai pernyataan pendirian yang tegas terhadap sesuatu yang negatif atau tidak seiring dengan dirinya .

Melalui kemahiran ini juga , benteng kukuh mampu didirikan dari segala aura negatif dipancarkan pengaruh sekeliling termasuklah rakan sebaya . Hasilnya , pendirian kukuh tadi tidak akan membuatkan seseorang itu terjerumus mahupun terikut-ikut dengan perkara  yang salah . Kita ambil contoh mudah , budaya merokok dan membuang masa .

Mereka yang bergelar korporat juga ramai didapati tidak menguasai kemahiran ini . Akibatnya , mereka lebih suka memendam rasa , terikut-ikut dengan kawan sepejabat , takut meluahkan rasa dan pegangan serta banyak lagi . Akibatnya , hidup terbeban , bebanan kerja kadangkala bertambah dan tidak terurus dan sebagainya .



Golongan mahir Asertif juga bijak dalam urusan
kewangan dan ekonomi rumah tangga . Mereka
tidak mudah terpedaya dengan rakan sekerja
membelanjakan wang sewenangnya .

Oleh itu , bersungguh-sungguhlah menegakkan pendirianmu sepanjang hayatmu . Ketahuilah kehidupan di dunia yang singkat ini begitu berharga dan tidak boleh disia-siakan . 


Keyakinan yang tegas serta usaha yang bersungguh-sungguh akan membuatkan hidup kita lebih bermakna , percayalah ! Yang lebih utama , pendirian tersebut hendaklah bertapakkan ilmu Allah S.W.T.


Tetapi , KEMAHIRAN ASERTIF juga punya maksud yang lebih mendalam !

Asertif turut ditakrifkan sebagai keupayaan seseorang meluahkan isi hati dan perasaan setelus mungkin DENGAN menjaga hati dan hak insan yang mendengarnya . Dengan cara ini , seseorang sudah melengkapkan komponen utama pelengkap kejayaan , yakni memelihara hubungannya sesama manusia , dengan cara menjaga hati sesama makhluk . ^_^



Alangkah indahnya jika segenap masyarakat hari ini menguasai kemahiran ini . Tentunya manusia saling mengasihani , mencintai dan melengkapi . 

Tiada lagi golongan yang ditindas kerana masing-masing memahami hak satu sama lain .

Yang lemah dibantu berdiri meneruskan langkah , yang tua diberikan kasih sayang menempuh nostalgia mendatang . ^_^






Bagaimana bersikap Asertif ?

* Jadilah insan yang suka berterus terang .
* Jangan biarkan rakan mahupun pengaruh sekeliling mendesak kita menerima budaya negatif .
* Berusaha menjadi insan yang jujur saat menerima dan memberi pujian .
* Belajar untuk tidak menyatakan sesuatu yang tidak masuk akal / munasabah
* Elakkan mempersoalkan kenyataan yang dikeluarkan seseorang , bimbang pendengar tidak akan selesa dengan kita kerana mereka perlu mempertahankan diri .
* Hormati hak orang lain untuk bersuara dan bercakap .
* Gunakanlah nada suara sesuai di samping mempamerkan muka yang ceria .
* Buka hati untuk menerima teguran atau maklum balas dari orang lain .



Berusahalah untuk tersenyum , meskipun hati disakiti . Senyumlah dengan penuh
kerendahan hati , mengharapkan redha-Nya . Mustahil Allah tak beri . Sungguh
tanggungjawab membahagiakan saudara Islam lain terpikul di atas bahu setiap
mukmin . Yakinlah dengan senyum mampu membuat orang lain bahagia . ^^


Nabi pernah bersabda , "Tinggalkan barang yang menimbulkan keraguan engkau dan ambil yang tidak meragukan.Sesungguhnya kejujuran , membuatkan hati rasa tenteram dan dusta membuat hati ragu-ragu."

Kesimpulannya , cubalah untuk menguasai segala kemahiran dan setiap 'level' dalam piramid aras pemikiran . Mudah - mudahan , memberi manfaat kepada diri , keluarga , masyarakat dan agama . Moga dapat melahirkan lebih ramai golongan pemikir , intelektual dan pejuang yang akan menegakkan semula syariat Allah SWT di atas muka bumi ini . In shaa Allah .


   Tiada kata seindah ayat al-Quran ,        
   Tiada madah seindah sabda junjungan ,
   Tiada kata secantik nasihat yang baik ,  
   Tiada kalimah setinggi kalimah tauhid ,
   Tiada riang tanpa sahabat baik budiman ,
   Tiada bahagia tanpa cinta Ilahi .                

Sekian sahaja sahabat sekalian . Mohon teguran salah dan silap di mana-mana . Moga Allah Ta'ala berkenan mengampunkan dosa-dosa kita dan diletakkan di bawah payung rahmat-Nya , Tuhan Yang Maha Pengasih . In shaa Allah . Barakallahufikum ^_^

0 comments:

Post a Comment