![]() |
Dalam persahabatan , kita tidak lari dari disakiti dengan lidah yang berkata-kata . |
Sememangnya , hati yang disakiti dengan kata-kata lebih menyakitkan daripada dilukai dengan senjata tajam . Ya , itulah lidah . Ia lebih tajam daripada mata pedang . Muslim / umat Islam yang bertaqwa pasti akan menjaga tutur katanya kerana Allah menyukai perbuatan tersebut .
Rasulullah S.A.W. bersabda , " Tiada sesuatu perkara yang akan memberatkan timbangan kebaikan seseorang mukmin pada hari kiamat kecuali akhlak terpuji . Sesungguhnya Allah amat murka kepada seseorang yang buruk perbuatan dan tutur katanya . " ( Riwayat At-Tirmizi )
Sukar untuk kita lari dari disakiti dengan kata-kata oleh insan lain ataupun kita sendiri menyakiti orang lain . Perkataan mencela , memaki hamun dan merendahkan amatlah tidak baik kerana ia menjatuhkan air muka dan merendahkan moral individu tersebut . Ayat seperti " Itu pun tak tahu ?" , " Guna gadget ni pun tak pandai ?" dan sebagainya bukan sahaja mampu membuatkan hati individu tersebut terluka , bahkan orang sekeliling yang memiliki rasa empati dan kemanusiaan pasti panas telinga mendengarnya .
Berdiam diri merupakan didikan Rasulullah sepertimana yang disebutkan baginda yang bermaksud , " Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat , maka hendaklah ia berkata yang baik atau mendiamkan diri ." ( Riwayat Al-Bukhari dan Muslim )
Pepatah ada mengatakan kerana mulut badan binasa . Hati - hati yang dilukai oleh kata - kata berbisa boleh diumpakan seperti sebiji telur yang telah pecah . Pecahnya tidak boleh dicantum semula dan pasti meninggalkan rekahan selamanya . Begitulah lidah , lisan yang diucapkan pasti tidak boleh ditarik semula dan hati yang terluka pasti berparut .
Apapun , jika kita menjadi mangsa lidah berkata - kata , bersabarlah dan cuba memaafkan individu tersebut . Seterusnya berdoalah kepada Allah S.W.T. agar kita tidak melakukan hal yang sama kepada individu lain di sekeliling kita .
Ketahuilah , Allah sentiasa ada bersama kita . Luahkan segala rasa sedih yang terpendam di hati . Mohon petunjuk dan kasih sayang daripada-Nya . Sesungguhnya sebaik - baik pendengar ialah Allah Yang Satu . Senyap . Damai . Rahsia kekal rahsia . Tepuk dada , cuba rasa ! ^_^
Wallahu'alam
0 comments:
Post a Comment