Monday 5 August 2013

Posted by Unknown On 22:19
Sebaik-baik zikir adalah tilawatil ( membaca ) al-Quran , kerana al-Quran mengandungi pelbagai khasiat penyembuh hati dari semua penyakit kegundahan .

Secara umumnya , penyakit hati boleh terdiri daripada penyakit syubhat ( ajaran yang samar-samar atau meragukan ) dan syahwat . Di dalam al-Quran terdapat ubat penawar bagi kedua jenis penyakit ini .

Di dalam al-Quran terdapat keterangan dan alasan yang sanggup untuk menjelaskan yang hak dari yang batil . Penghapus setiap penyakit keraguan yang dapat menerangkan ilmu yang hakiki , persepsi dan pemahaman tentang Islam , sehingga orang dapat menerima setiap realiti yang ada .


Kerana itu siapa sahaja insan yang mendalami nilai-nilai kebenaran al-Quran dalam jiwanya , maka dia akan dapat melihat dan membezakan antara kebenaran dan kebatilan secara nyata .

Al-Quran sendiri telah terkandung hikmah dan petunjuk yang baik ( mauidzah hasanah ) , dengan mengajak berzuhud di dunia dan memberikan motivasi untuk akhirat . 

Rasulullah S.A.W. bersabda , " Barangsiapa yang ingin dicintai Allah dan Rasul-Nya , maka bacalah Mushaf ( Al-Quran ) ."

Al-Quran juga berfungsi sebagai alat yang paling berharga dalam mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. Khabbab bin Al-Arat r.a. berkata , " Dekatkan dirimu kepada Allah sebatas kemampuanmu , dah ketahuilah bahawa sesungguhnya tiada sesuatu yang paling disukai Allah untuk bertaqarrub ke hadrat-Nya , melebihi firman-firman-Nya ."

Ibnu Mas'ud berkata , " Barangsiapa mencintai al-Quran , maka ia pun telah mencintai Allah dan RasulNya ." Uthman bin Affan r.a. sendiri berkata , " Kalau sekiranya hatimu bersih , nescaya engkau tidak pernah merasa kenyang dari firman Tuhanmu ."

Allah berfirman  , " Ingatlah , bahawa hanya mengingati Allah , hati menjadi tenteram ." ( Ar-Ra'ad : 28 ) . Zikir yang paling utama adalah membaca Kitab Allah S.W.T. ( al-Quran ) .

Wallahu'alam .

0 comments:

Post a Comment