Wednesday 14 August 2013

Posted by Unknown On 09:03
Ini merupakan cerita orang-orang soleh . Diceritakan bahawa ada seorang soleh mempunyai seorang teman akrab yang diberi dugaan oleh Allah SWT dengan penyakit kusta . 

Semakin hari , penyakit temannya itu semakin teruk sehingga beberapa bahagian badannya seperti tangan , mata dan kakinya telah tanggal . Walaupun demikian , orang soleh itu tetap setia menemankannya . Dia menziarahi pesakit kusta itu setiap masa .


Pada suatu hari , orang soleh itu terlupa tidak mengunjungi temannya yang kurang bernasib baik itu kerana kesibukan atau sebab lainnya . Apabila teringat , dia segera pergi menziarahinya seperti biasa .


" Maaf teman , aku terlupa kepadamu ," kata lelaki soleh itu . " Aku mempunyai teman yang tidak pernah lupa kepadaku ," kata si pesakit kusta . " Demi Allah , aku benar-benar tidak ingat kepadamu ," kata orang soleh itu lagi ." Tidak apa , aku ada teman yang sentiasa menemaniku ."


Orang soleh itu tidak faham akan makna perkataan temannya , dia tetap juga menyatakan penyesalannya . " Betul , aku benar-benar terlupa ." " Aku dah kata , aku punya teman yang sentiasa ingat kepadaku ," kata pesakit kusta itu agak tegas .


Kemudian dia berkata lagi , " Pergilah engkau dari sini . Engkau telah menggangguku dari berzikir kepada Allah ." Barulah orang soleh itu faham bahawa temannya yang berpenyakit kusta itu tidak henti-hentinya berzikir dan mengingati Allah . Biarpun tangan dan kakinya terputus dari badan , namun hatinya tidak pernah putus dari mengingati Allah . DIA-lah yang menemankannya setiap waktu .


Beberapa hari kemudian , pesakit kusta itupun meninggal dunia .Orang soleh tadi menjadi orang yang utama dalam menguruskan jenazahnya . Dia juga yang mengeluarkan kain untuk dibuat kafannya dan mengafaninya .

Ternyata kain itu terlalu panjang buatnya , lalu lebihannya dipotong supaya kelihatan kemas . Setelah disembahyangkan , lalu dia dikebumikan . Pada sebelah malamnya , orang soleh itu bermimpi melihat seorang lelaki yang berwajah sangat cantik berdiri berhampirannya .


" Engkau terlalu bakhil kepadaku ketika mengafani aku . Engkau telah memotong lebihan kain itu . Ini kain kafan yang engkau pinjamkan kepadaku , aku pulangkannya semula . Aku sudah tidak memerlukannya , kerana aku telah dikafani dengan kain istabrak dan sundus ," kata lelaki yang menjelma dalam mimpinya .


Mimpinya hanya sampai sekian , kerana orang soleh itu telah terjaga dari tidurnya . Alangkah terkejutnya dia apabila berdekatan dengan kepalanya ada sehelai kain kafan . Wallahu'alam .

0 comments:

Post a Comment