Friday 16 August 2013

Posted by Unknown On 04:15
Menunaikan solat fardu merupakan jambatan mendekatkan diri kepada Allah kerana melalui solatlah seseorang akan bermunajat dengan kekasihnya Yang Maha Agung , memohon keampunan , menambahkan keimanan serta memperkuatkan ikatan kejiwaan terhadap Allah .

Solat fardu lima waktu merupakan amalan perbuatan yang sangat mulia dan tinggi nilainya . Abdullah bin Mas'ud r.a. pernah bertanya kepada Rasulullah SAW , " Wahai Rasulullah , apakah amalan yang paling utama ?" Rasulullah SAW menjawab , " Solat pada waktunya ." Rasulullah SAW sentiasa berpesan kepada umatnya agar mengerjakan solat tepat pada waktunya kerana itulah masa yang sesuai untuk berhubung terus dengan Allah .

Abu Hurairah melaporkan dalam satu hadis baginda SAW bersabda , " Apakah pandangan kamu jika ada sebatang sungai di hadapan salah seorang kamu , lalu dia mandi di sungai itu lima kali sehari , apakah masih melekat sebarang kotoran pada tubuhnya ?" Para sahabat menjawab , " Tidak ada lagi sebarang kekotoran ." Lalu baginda bersabda lagi , " Begitulah perumpamaan bagi solat lima waktu . Allah menghapuskan segala kesalahan hamba-Nya ."

Masa yang diperlukan untuk solat lima waktu sehari juga mempunyai hikmah agar hubungan hamba-Nya terhadap Allah tidak terputus dan sentiasa bersambung selain menjadi perisai daripada hasutan syaitan dan hawa nafsu .

Mengabdikan dan menghampirkan diri kepada Allah pada setiap masa akan membawa kita ke dalam peliharaan dan perhatian Allah , In sha Allah .

Ketika berhadapan dengan masalah , Rasulullah SAW akan terus melakukan solat sunat . Justeru , baginda SAW juga ada berpesan kepada umatnya ( kita ) agar melakukan ibadat pada waktu malam hari dengan melakukan solat sunat hajat dan solat tahajud dengan memanjangkan waktu sujudnya .


Sehubungan dengan itu , Rasulullah SAW menegaskan , kubur merupakan anak tangga pertama menuju ke akhirat . Jika seseorang itu boleh selamat dari seksaan-Nya , maka peringkat selepas itu akan menjadi mudah . Tetapi jika sebaliknya , apa yang akan dihadapi selepas itu sangatlah payah .

Demi merebut keberkatan yang disediakan oleh Allah SWT kepada hamba-hambaNya , usahlah sesekali kita meremehkan solat fardhu . Dengan cara apa ? Usah melengah-lengahkan waktu solat , perbaiki kualiti solat dan sebagainya . In sha Allah perbanyakkanlah , jika tidak boleh , usaha mengerjakan solat sunat sebagai menambahkan keimanan dan membersihkan jiwa dari segala kekotoran rohani .

Untuk memperlihatkan ketaatanmu kepada Allah , solatlah tepat pada waktu dan usah melengah-lengahkan kerana ia merupakan cara terbaik .

Daripada Uthman bin Affan r.a. katanya , " Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda , " Tidak ada seorang Muslim yang menunaikan solat fardu , lalu dia memperelok wuduknya , khusyuk dan rukuknya melainkan ia menjadi penghapus dosa bagi kesalahan yang dilakukan sebelum ini selagi mana tidak melakukan dosa besar dan ini adalah untuk selama-lamanya ."

Wallahu'alam ...

0 comments:

Post a Comment